HULU TERENGGANU: Hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan peningkatan mendadak air Sungai Telemong, Kuala Ping di sini, dan Sungai Chalok, Setiu, sehingga melepasi paras bahaya.
Menurut laman sesawang rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sungai Telemong mencatatkan peningkatan pada paras 21.06 meter, manakala Sungai Chalok berada pada paras sembilan meter.
Berdasarkan pemerhatian BH, kedua-dua sungai terbabit terus mencatatkan peningkatan paras air berikutan hujan lebat sejak awal pagi tadi.
Peningkatan mendadak itu menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilaporkan dinaiki air dan sehingga kini Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bersama agensi berkaitan sedang giat membantu mangsa untuk berpindah.
Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata pihaknya sedang mengemas kini jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Hulu Terengganu dan Marang.
Katanya, berdasarkan maklumat, hujan lebat melebihi 300 milimeter sejak awal pagi tadi antara faktor paras sungai meningkat mendadak.
“Buat masa ini, pegawai APM di seluruh daerah sedang mengemas kini data mangsa yang dipindahkan dan kita akan memberi maklumat terkini dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, tinjauan di Kampung Bukit Kolam dan Kampung Tok Randut, Ajil, paras air semakin meningkat berikutan limpahan air sungai.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment