JOHOR BAHRU: Kembara(Akhbar Maya) Mahkota Johor (KMJ) 2016 edisi ke-19 bermula hari ini, dengan buat julung kalinya menyaksikan tiga trak Mack milik Sultan Johor digunakan sepanjang program.
Majlis pelancaran disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang berkenan berangkat merasmikan gimik pelepasan di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, pagi tadi.
Baginda yang tiba kira-kira jam 8 pagi diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Yang Dipertua Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; barisan EXCO kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.
Mohamed Khaled berkata, KMJ adalah acara yang dinantikan rakyat selain melambangkan keutuhan institusi diraja dan rakyat di Johor.
“Sejak diperkenalkan 16 tahun lalu, KMJ mengakrabkan hubungan antara istana, kerajaan negeri dan rakyat jelata. Ia bukan sekadar pengisian takwim negeri, tetapi acara yang memberi makna besar kepada seluruh rakyat Johor kerana tiga sebab.
“Pertama, KMJ adalah acara yang menjelma dan memaknakan hubungan erat dan padu istana dengan rakyat jelata. Kedua program ini adalah cara Johor mempamer dan mempertahankan peradaban bangsanya yang besar dan tersendiri,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Ketiga, katanya, KMJ adalah peluang yang harus diambil setiap rakyat untuk menyatakan ketaatan dan kasih kepada Sultan Johor serta keluarga diraja.
KMJ yang memasuki edisi ke-19 membabitkan laluan sejauh 842 kilometer. Ia memulakan perjalanan ke destinasi pertama iaitu gerai Majlis Daerah Kulai sebelum singgah di FELDA Inas, Kulai.
Konvoi akan meneruskan perjalanan ke Kampung Lukut, Kota Tinggi untuk berehat dan makan tengah hari sebelum ke Legaran Tanah Putih, Kampung Sentosa Sedili, Kota Tinggi dan Tenggaruh 6, Mersing.
Sultan Ibrahim dijangkakan menamatkan kembara hari pertama dengan persinggahan di Taman Wawasan, Mersing.
0 comments:
Post a Comment