Dipecat DAP, pengundi desak wakil rakyat Teluk Datok berundur - Akhbar Maya

Videos

Dipecat DAP, pengundi desak wakil rakyat Teluk Datok berundur

KUALA LUMPUR, 22 Mei ― Selepas dipecat daripada DAP kerana salah guna dana, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Datok digesa memohon maaf kepada pengundi dan melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat.
Loh Chee Heng bukan sahaja didakwa jarang turun padang, malah penduduk juga tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya kepada masyarakat kampung.

"Sebab itulah saya ingin membantu rakyat di kawasan ini memandangkan pernah berkhidmat sebagai Adun Telok Datok sebelum ini," kata Philip Tan Choon Swee yang mengetuai desakan bersama lima ketua kampung, lapor Sinar Harian hari ini.

"Apa pun saya masih menghormati keputusan kuasa Chee Heng untuk buat rayuan, namun berharap tidak buat rakyat dalam situasi tertanya-tanya status wakil rakyat di kawasan itu."

Lima ketua kampung yang terbabit termasuk Tan Ching Hing mewakili Sungai Jarom, Khairul Nizam Jumi (Sungai Manggis), Hassan Musman (Seri Cheeding), Muhamzah Ngamil (Kampung Banting), dan Misnan Ahmad (Jenjarom).

Khairul Nizam dilapor akhbar itu berkata, wujud diskriminasi pelaksanaan aktiviti di kampung berkenaan apabila banyak program yang melibatkan pihak berkuasa tempatan berbanding komuniti kampung itu sendiri.

Katanya, keadaan itu menunjukkan hubungan rapat Loh dengan orang kampung masih renggang.

DAP pada 14 Mei lalu menamatkan keahlian Loh selepas mendapati ada bukti dakwaan salah guna dana kerajaan Selangor yang diperuntukkan ke kawasannya.

Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai berkata keputusan dibuat setelah menjalankan siasatan dalaman berikutan aduan bertulis tentang salah laku Loh.

Loh bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mahu mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pusat Parti DAP (CEC) supaya namanya dapat dibersihkan.

- Malay Mail
Share on Google Plus

About Musang Maya (Nur Shila)

0 comments:

Post a Comment