Keluarga Kugan tidak berhak dapat ganti rugi RM300,000 - Akhbar Maya

Videos

Keluarga Kugan tidak berhak dapat ganti rugi RM300,000

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila mengarahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi teladan berjumlah RM300,000 kepada keluarga A. Kugan, yang mati semasa dalam tahanan polis, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke berhujah bahawa Seksyen 8(2) Akta undang-undang Sivil 1956, melarang pemberian ganti rugi teladan dalam suatu tuntutan harta pusaka dan bahawa Mahkamah Rayuan telah mewujudkan pengecualian kepada Seksyen 8(2).

Beliau berhujah bahawa perkataan yang terkandung dalam Seksyen 8 (2) adalah mudah dan mengandungi hanya satu pengertian bahawa ganti rugi teladan tidak boleh diperolehi dalam tuntutan harta pusaka tanpa pengecualian.

Alice juga meminta mahkamah mengurangkan jumlah ganti rugi bagi "misfeasance" (salah laku oleh pegawai awam) yang diberikan kepada keluarga Kugan daripada RM100,000 kepada RM50,000 kerana perbuatan itu berlaku selepas kematian.

"Oleh itu, perbuatan yang berlaku selepas kematian si mati dan ditakrifkan sebagai salah laku oleh pegawai awam tidak boleh menjadi asas bagi tuntutan dalam Seksyen 8. Ganti rugi tidak boleh diperolehi bagi tindakan seumpama itu," katanya.

Alice selanjutnya berkata Mahkamah Rayuan telah terkhilaf untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi ganti rugi teladan dan meminta ganti rugi tersebut diketepikan.

Kerajaan dan polis memfailkan rayuan terhadap pemberian ganti rugi teladan dan salah laku awam.

Peguam R. Sivarasa yang mewakili keluarga Kugan pula berhujah bahawa ganti rugi teladan harus diberikan kepada keluarga Kugan kerana kes itu membabitkan penindasan dan arbitrari.

Pada 3 Ogos, 2015, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada polis dan kerajaan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan memberi ganti rugi kepada ibu Kugan, N. Indra, 49.

Pada 8 Ogos, 2014, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati pihak polis, bekas konstabel polis V. Navindran dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian Kugan, 22, semasa dalam tahanan polis pada Januari 2009.

Bagaimanapun, dalam keputusan sebulat suara, barisan panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM801,700 kepada RM701,700 selepas mengetepikan RM100,000 sebagai ganti rugi bagi salah penahanan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2013.

Pada 13 Januari 2012, Indra, memfailkan saman RM100 juta menuntut ganti rugi kerana mendakwa pihak-pihak terbabit melakukan kecuaian, serangan, salah penahanan dan salah laku pegawai awam serta melanggar tanggungjawab statutori.

Navindran, akan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun selepas rayuan terakhirnya terhadap sabitan kerana menyebabkan kecederaan ke atas Kugan ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei, 2015.

Pada prosiding hari ini, hujah-hujah yang sama juga dikemukakan dalam satu kes lain membabitkan keluarga Abdul Jaffar Abdul Mutalib, seorang penarik kereta, yang Jaafar mati ditembak polis pada 2008.

Kerajaan dan polis memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi ganti rugi kepada ketiga-tiga anak perempuan Abdul Jaffar, sejumlah RM351,000 selepas mahkamah membenarkan tuntutan mereka atas kehilangan tempat bergantung selepas kematian bapa mereka.

Hakim Mahkamah Persektutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar yang mengetuai barisan panel lima hakim menangguhkan kedua-dua keputusan ke satu tarikh yang akan ditetapkan. - Bernama
Share on Google Plus

About Musang Maya (Nur Shila)

0 comments:

Post a Comment