Denmark Juara Piala Thomas - Akhbar Maya

Videos

Denmark Juara Piala Thomas

KUNSHAN, China 22 Mei - Denmark memahat sejarah muncul pasukan bukan Asia pertama merangkul kejuaraan Piala Thomas selepas menumpaskan juara 13 kali, Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir di sini, sebentar tadi.

Pemain No. 13 dunia, Hans-Kristian Vittinghus muncul wira Denmark selepas mengutip mata kemenangan pasukannya dengan menumpaskan Ihsan Maulana Mustofa 21-15, 21-7 dalam perlawanan penentuan.

Denmark, yang gagal mendakap Piala Thomas walaupun lapan kali memasuki pentas akhir sebelum ini memulakan kempen dengan langkah kanan selepas juara remaja dunia 2010, Viktor Axelsen mengutip mata pertama dengan menundukkan Tommy Sugiarto 21-17, 21-18.

Juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan bagaimanapun berjaya menghidupkan semula peluang Indonesia dengan menyamakan kedudukan 1-1 selepas menundukkan pasangan Mads Conrad-Petersen-Mads Pieler Kolding 21-18, 21-13.

Walaupun menunjukkan prestasi cemerlang dalam kempen kejohanan antarabangsa, namun tugasan Piala Thomas nyata terlalu berat buat pemain remaja berusia 19 tahun, Anthony Ginting apabila kalah mudah 17-21, 12-21 kepada pemain berpengalaman, Jan O Jorgensen untuk kembali meletakkan Denmark 2-1 di depan.

Beregu sekali lagi menjadi penyelamat Indonesia selepas pasangan muda, Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi mengheret saingan ke perlawanan penentuan dengan menumpaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-16, 21-14.

Pengalaman memainkan peranan besar dalam perlawanan penentuan, apabila Vittinghus yang telah beberapa kali beraksi di pentas Piala Thomas lebih tenang berdepan Ihsan Maulana untuk melakar kemenangan hanya dalam masa 40 minit. - UTUSAN ONLINE

Share on Google Plus

About Musang Maya (Nur Shila)

0 comments:

Post a Comment