Mahathir Bukan Lidah Rasmi Pembangkang - Akhbar Maya

Videos

Mahathir Bukan Lidah Rasmi Pembangkang

Bukan satu rahsia lagi apabila kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti yang diketuainya, PPBM, tidak begitu diterima baik oleh PKR terutamanya oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, musuh politik Mahathir selama lebih 18 tahun. Hal ini dapat disaksikan dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Datin Seri Wan Azizah mahupun anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Kedua-dua orang kuat PKR ini sebenarnya masih menyimpan perasaan marah terhadap Mahathir dengan apa yang beliau lakukan terhadap Anwar pada 1998 yang menyaksikan Anwar di pecat daripada UMNO atas salah laku yang dilakukannya.

Walaupun hari ini Mahathir sudah secara sah berada dalam saf kepimpinan Pakatan Harapan dan telah berbaik semula dengan Anwar, namun perasaan marah keluarga Anwar terhadap Mahathir amat sukar dikikis dengan begitu mudah. Terbaru, Nurul Izzah Anwar menyeru semua pihak termasuk rakan Pakatan Harapan yang lain untuk tidak mengambil peduli apa jua kenyataan Mahathir berhubung masa depan pakatan berkenaan.

Beliau mengakui, sebagai bekas Perdana Menteri, Mahathir berhak untuk menyuarakan pendapatnya namun beliau mahu lebih penekanan diberikan terhadap usaha Pakatan Harapan membentuk satu gabungan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu, benar-benar menjadi kenyataan.

Menariknya di sini, andai benar kenyataan Mahathir ini bukan lidah rasmi pembangkang, di mana hak Mahathir untuk menyuarakan pendapatnya di dalam Pakatan Harapan? Bukankah jika dinilai dari seruan Nurul Izzah ini, ianya kelihatan bukan amalan demokrasi solid seperti yang diperjuangkan oleh mereka selama ini?

Jika suara Mahathir ini bukan lidah rasmi Pakatan Harapan, kenapa Nurul Izzah dan kesemua pemimpin pembangkang begitu komited untuk menjadikan pertandingan satu lawan satu semasa PRU ke 14 nanti menjadi kenyataan? Bukankah ianya adalah seruan Mahathir yang mahu pembangkang bersatu melawan UMNO dan Barisan Nasional?

Sebenarnya, Nurul Izzah tidak boleh menafikan bahawa Mahathir adalah salah seorang pemimpin pembangkang walaupun beliau bukan Ahli Parlimen atau ADUN di mana-mana kawasan. Jika Mahathir berasakan PAS bukan lagi keutamaan pembangkang, PKR harus akur dengan cadangan Mahathir ini. Ini kenyataan yang sudah tertulis dalam Pakatan Harapan yang mengutamakan pendapat pemimpin utama.

Jadi, adalah amat pelik apabila Nurul Izzah mahu semua pihak mengabaikan sahaja apa yang diperkatakan Mahathir kerana ianya bukan lambang sebenar kehendak Pakatan Harapan. Ianya sama seperti Nurul Izzah menolak kenyataan Lim Kit Siang hanya kerana Kit Siang bukan ahli PKR. Bukankah ianya satu perkara yang pelik dan melawan pegangan kebebasan suara yang diamalkan oleh Pakatan Harapan?Sumber  PRU14
Share on Google Plus

About Musang Maya (Nur Shila)

0 comments:

Post a Comment